Bilik Warisan Sekolah Menengah Kebangsaan Gajah Berang

Sejarah penubuhan Bilik Warisan


Idea penubuhan Bilik Warisan SMK Gajah Berang dicetuskan oleh Pengetua sekolah yang ke-14 iaitu Pn Hajah Umaizahrah Bt Alwi. Usaha murni beliau adalah bermatlamatkan pemeliharaan warisan budaya sekolah bagi menjana kecemerlangan Institusi Pendidikan SMK Gajah Berang yang unggul. Justeru, beliau telah memperkenalkan Blok Warisan Budaya Sekolah yang meliputi sudut, galeri dan Bilik Warisan. Bilik ini telah dibina di blok utama pengurusan dan diuruskan bersama oleh ahli Panitia Sejarah, guru-guru cemerlang dan staf sokongan yang telah bertungkus lumus menjadikan cetusan idea puan pengetua satu kenyataan. Kos pembinaan bilik ini dianggarkan sebanyak RM 25,000.

Secara keseluruhan, konsep Bilik warisan adalah mengikut tema-tema tertentu yang dapat menggambarkan sejarah dan perkembangan SMK Gajah Berang bermula dari tahun 1956 hingga masa kini. Pelbagai teknik pameran diguna pakai seperti diorama yang memaparkan peristiwa penting sekolah, artifak-artifak seperti lukisan-lukisan, bahan-bahan bergambar, peralatan sains, kemahiran hidup dan permainan. 


Objektif Bilik Warisan

  1. Sebagai tempat mengumpul, menyimpan dan mempamerkan bahan-bahan sejarah SMK Gajah Berang.
  2. Sebagai pusat kajian dan penyelidikan sejarah.
  3. Sebagai pusat informasi tentang sejarah SMK Gajah Berang.
  4. Sebagai satu usaha penerapan dan penghayatan nilai patriotisme dan jati diri warga SMK Gajah Berang.
  5. Sebagai produk pelancongan berunsurkan pendidikan yang boleh dimanfaatkan oleh pelbagai pihak khususnya murid dan penyelidik.

Galeri Warisan

Antara artifak yang terdapat di Bilik Warisan SMK Gajah Berang ialah:

ArtifakInfoPautan video
  • Rehal adalah alat yang digunakan oleh masyarakat Islam untuk meletakkan Al-Quran ketika membaca dan mempelajarinya.
  • Rehal yang juga dikenali sebagai rihal, dicipta khusus oleh orang-orang Islam secara simboliknya  untuk mengangkat kedudukan dan darjat Al-Quran sebagai satu cara menghormati dan memuliakan kitab Allah SWT iaitu Al-Quran.
  • Terdiri daripada papan bersilang yang boleh dibuka dan ditutup bagi memudahkan proses penyimpanan rehal tersebut.
  • Alat ini digunakan di dalam madrasah, masjid dan juga rumah orang-orang Islam.
  • Kebiasaannya, rehal diperbuat daripada kayu yang diukir dengan pelbagai bentuk dan corak tetapi dengan peredaran masa dan perkembangan teknologi, terdapat juga rehal yang dibperbuat daripada plastik.
  • Satu manfaat daripada penggunaan rehal adalah dapat memelihara jilid al-Quran. Bentuk 'V' yang terhasil daripada bentuk rehal memastikan tetulang jilidan sebuah kitab terpelihara apabila kerap kali dibuka dan ditutup.
Video
  • Bakul Siah  atau bakul sia merupakan bakul tradisi bagi masyarakat Baba dan Nyonya di negeri Melaka.
  • Bakul ini terdiri daripada beberapa saiz dan tingkat. Oleh itu, harga bakul ini bergantung kepada saiz serta tingkatnya.
  • Kebiasaannya, bakul ini diperbuat daripada buluhkayu dan dibalut dengan kertas tebal atau kulit. Corak hiasan dan besar bakul ini bergantung kepada kemampuan dan tujuan yang dikehendaki oleh pemilik bakul tersebut.
  • Pada masa dahulu, bakul ni digunakan untuk pelbagai tujuan seperti hantaran perkahwinan dan untuk pemberian hadiah. Para tetamu terutamanya kaum ibu yang  pergi ke majlis perkahwinan biasanya akan membawa bakul siah bagi mengisi buah tangan atau hadiah dalam bentuk beras. Bakul siah ini diberikan kepada tuan rumah yang kemudiannya memasukkan beras tersebut ke dalam tong beras. Tuan rumah akan membalas pemberian beras tersebut  dengan memasukkan benda lain ke dalam bakul Sia seperti pulut kuning atau telur rebus.
  • Selain itu, bakul Siah  juga digunakan apabila ada kematian. Para ibu yang melawat rumah si mati akan mengisi beras di dalam bakul Sia dan memberikannya kepada tuan rumah. Berbeza daripada majlis perkahwinan, tiada balasan daripada tuan rumah apabila bakul ini dikembalikan.
  • Kini, Bakul Siah sesuai dijadikan sebagai cenderahati, hantaran, hiasan dan hamper.
Video
  • Tepak sireh merupakan barang perhiasan yang digunakan oleh masyarakat Melayu khasnya  dalam upacara-upacara adat istiadat dan majlis perkahwinan. Tepak sirih terdiri daripada beberapa komponen iaitu bekas sirih, cembul, bujam epok, kacip, gobek, celepa dan ketur. 
  • Bekas sirih  diperbuat sama ada  daripada logam, perak atau gading gajah. Bekas ini berbentuk pipih iaitu ia lebar di bahagian mulut dan menguncup di bahagian bawahnya, Daun-daun sirih yang telah dipetik dan dibuang tangkainya akan dimasukkan ke dalam bekas ini dalam jumlah tujuh hingga sembilan helai. Ianya akan disajikan bersama tepak sirih atau puan kepada tetamu.
  • Cembul  digunakan untuk menyimpan ramuan sirih pinang dan  terdiri daripada lima sekawan iaitu untuk bekas pinang, kapur, gambir, tembakau dan bunga cengkih. Cembul-cembul ini seharusnya disusun mengikut peraturan yang telah ditetapkanCembul berbentuk bulat dan bertutup Di bahagian bawahnya terdapat tapak agar membolehkannya terletak dengan betul. Cembul untuk bekas kapur biasanya berbentuk silinder dan dan diperbuat daripada logam seperti tembaga, perak atau emas saduran dan berbeza sedikit daripada cembul yang lain.
  • Bujam epok adalah sejenis tas tangan atau kantung yang diperbuat daripada kain tebal yang ditenun dan disulam dengan pelbagai corak dan digunakan untuk mengisi piak-piak sirih atau tembakau. Bujam epok  akan disandang oleh tuan rumah atau orang kanan di majlis perkahwinan yang akan membahagi-bahagikan piak sirih kepada para tetamu undangan. Selain itu, bujam epok berfungi untuk menempatkan sumbangan yang berupa wang ringgit yang diterima daripada para jemputan.
  • Kacip mempunyai dua bilah mata yang bertaut dan mempunyai hulu atau tangkai dikedua-dua bilahnya. Kacip diperbuat daripada logam keras yang ditempa. Ia berfungsi untuk memotong atau mengacip  isi buah pinang Di dalam tepak sirih, kacip disusun bersebelahan dengan daun sirih.
  • Gobek terdiri daripada dua komponen iaitu ibu gobek dan anak. Ia berperanan seperti antan dan lesung. Tetapi diperbuat daripada logam berbentuk silinder dan berlubang di tengah dari hujung hingga ke pangkalnya.  Di bahagian hujungnya  disumbatkan dengan kayu yang sama besar dengan saiz lubang tersebut. Seulas piak sirih akan disumbatkan ke dalamnya dan ditujah-tujah sehingga lumat, setelah selesai, kayu dibahagian hujungnya akan ditolak dengan anak ke pangkal membolehkan piak yang lumat keluar dan sedia untuk dimakan.
  • [null Celepa] berbentuk bulat pipih, segi lapan atau sepuluh serta cembung dan bertutup kemas. Celepa digunakan untuk mengisi tembakau atau piak sirih.  
  • [null K]etur berfungsi sebagai tempat berludah bagi menjaga kebersihan kerana sepah dan ludah yang diluahkan darpadai proses bersirih berwarna merah pekat dan kotor.
Video
  • Terompah mempunyai kaitan dengan nilai warisan masyarakat Baba Nyonya, Melayu, Cina dan India. Terompah diperbuat daripada kayu dan dijadikan pilihan sebagai pengalas kaki bagi menggantikan kasut kerana terompah lebih murah, tahan lasak dan praktikal. Terompah juga boleh didapati dalam berbagai-bagai warna.
  • Di awal kegemilangannya iaitu di sekita tahun 50an dan 60an. , terompah bukan sahaja dipakai oleh golongan wanita, tetapi juga kaum lelaki Satu perbezaan terompah perempuan dan terompah lelaki adalah terompah perempuan berlekuk di tengahnya sementara terompah lelaki sama memanjang.
  • Terompah bercat merah sering menjadi pilihan untuk dipadankan dengan pakaian tradisi seperti baju kurung pesak atau kebaya nyonya oleh kaum wanita. Kaum lelaki menggunakan terompah untuk dipakai ke surau kerana sifat tahan lasaknya itu.
  • Bunyi terompah yang unik iaitu seperti bunyi ketukan mampu menarik perhatian orang berdekatan.apabila si pemakai berjalan.
  • Terompah dipakai sama ada dalam rumah mahupun kawasan luar kediaman.
  • Kini, terompah dikomersialkan sebagai barangan hiasan dan cenderahati yang dengan rekaan yang pelbagai bentuk yang menarik.
Video
  • Kompang adalah sejenis alat muzik tradisonal Melayu yang termasuk dalam kategori gendang. Saiz ukur lilit biasa bagi sebuah kompang adalah enam belas inci. Biasanya, kompang dimainkan semasa perarakan, kenduri atau majlis-majlis perkahwinan masyarakat Melayu.
  • Berasal dari Tanah Arab dan dipercayai dibawa masuk ke Tanah Melayu sama ada pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka oleh pedagang India Muslim atau melalui Jawa oleh pedagang Arab pada abad ke-13.
  • Terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian badan yang dipanggil baluh dan bahagian muka iaitu belulang. Baluh bingkai kompang diperbuat daripada kayu pokok nangka manakala belulang pula daripada kulit binatang seperti kambing, lembu dan kerbau.
  • Sejenis rotan diletakkan yang dipanggil sedak diletakkan antara belulang dan baluh untuk menegangkan bahagian belulang dan menyedapkan bunyi kompang apabila dipalu.
  • Cara memainkan kompang ialah dengan memegang dengan sebelah tangan dan menepuk kulit kompang dengan bahagian jari-jari atau tapak tangan mengikut rentak. Bunyi yang berlainan dihasilkan dengan membezakan cara bukaan tapak tangan. Bunyi 'bum' di perolehi dengan tepukan di sisi kompang dan tapak tangan dirapatkan. Bunyi 'pak' dihasilkan dengan tepukan di tengah kompang dengan jari tangan yang terbuka.
Video
  • Bola takraw ini dibuat daripada anyaman rotan yang berbentuk bundar seperti bola. Bola takraw digunakan dalam permainan sepak takraw. Sepak takraw merupakan sejenis permainan antara dua pasukan atau regu yang dianggotai oleh tiga orang pemain bagi setiap regu yang dipiisahkan oleh sebuah jaring dan dimainkan di dalam gelanggang yang berukuran sama seperti gelanggang badminton. Pemain sepak takraw terdiri daripada tekong, apit kiri dan kanan.
  • Perkataan 'sepak takraw' berasal daripada dua perkataan iaitu "SEPAK" daripada perkataan bahasa Melayu yang bererti menendang dan "TAKRAW", perkataan bahasa Thai yang berarti bola anyaman. Pemilihan nama untuk permainan ini merupakan kesepakatan dari dua buah negara pelopor permainan ini iaitu Malaysia dan Thailand.
  • Sepak takraw berasal daripada permainan sepak raga yang telah dimainkan semenjak Zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Namun terdapat beberapa pengubahsuaian telah dibuat dalam permainan ini. Sepak raga dimainkan dengan menimang bola takraw dalam bulatan dengan menggunakan kaki atau kepala dengan ketiadaan jaring manakala sepak takraw mengadukan dua pasukan yang dipisahkan oleh jaring,
Video
  • Congkak ialah sejenis permainan tradisional Melayu yang sering dimainkan sebagai aktiviti dalaman atau sebagai pertandingan. Walau bagaimanapun, asal usul permainan congkak dipercayai dari dunia Afrika atau Arab yang telah tersebar ke Asia Tenggara melalui pedagang-pedagang Arab yang menjalankan aktiviti perdagangan di pelabuhan Melaka. Nama "congkak" pula dikatakan diambil daripada perkataan Bahasa Melayu iaitu "congak" yang bermaksud pengiraan mental.
  • Terdiri terdiri daripada satu papan congkak dan buah congkak. Bahan-bahan yang boleh dijadikan buah congkak termasuklah biji saga, guli atau batu-batu kecil. Papan congkak berbentuk sampan dan boleh diperbuat daripada pelbagai jenis kayu seperti   merbau, keruing, balau, kayu rambutan dan nangka. Terdapat lima atau tujuh lubang sebaris yang dikenali sebagai 'kampung' dan di kedua-dua hujungnya terdapat lubang ibu yang dikenali sebagai 'rumah'. 'Rumah' kepunyaan pemain terletak di lubang hujung sebelah kirinya.
  • Dalam permainan congkak, dua pemain diperlukan dan berkedudukan mengadap satu sama lain. Pemain akan memulakannya dengan serentak dengan mengisikan satu persatu buah congkak dalam setiap kampung dengan sama banyak menuju ke rumah masing-masing menurut arah pusingan jam sehingga salah seorang pemain berhenti di lubang yang kosong kerana kehabisan buah congkak dan dianggap mati. Pemain yang seorang lagi akan terus berjalan sehingga dia berhenti di lubang yang kosong. Setiap pemain akan bergilir berjalan sehingga buahnya mati. Permainan ini akan diulang sehingga salah seorang pemain tidak cukup buah bagi mengisi walau satu lubang sekalipun dan dianggap kalah.Sekiranya pemain telah membuat satu pusingan, iaitu melepasi lubang ibu dan kembali ke lubang sebelah pemain, ia boleh mengambil buah di sebelah lubang bertentangan sekiranya ia mati di sebelah sendiri. Ini dikenali sebagai "tembak".
Video

Rujukan

WikiPedia: Sekolah Menengah Kebangsaan Gajah Berang http://www.gajahberangalumni.com/content/about-gbs http://gajahberangschool.blogspot.my/ http://meb2091.1bestarinet.net/app/os#!0a395b6f598... http://meb2091.1bestarinet.net/app/os#!3ff4bd34d58... http://meb2091.1bestarinet.net/app/os#!922cdd1babc... http://web.archive.org/web/20170913184121/https://... https://www.facebook.com/SMK-Gajah-Berang-13015265... https://smkgb.wordpress.com/ https://www.youtube.com/embed/3BsvXvC70UY https://www.youtube.com/embed/51YvwdFBFKk